PINNED POST

BANYAK ENTRY DIBUANG

RESEPI RENDANG AYAM TRADISI NENEK PESAH


Assalamualaikum & Salam Sejahtera

Di sini saya kongsikan resepi rendang ayam dari arwah nenek kesayangan saya buat semua.
Sebelum itu, saya mohon agar kita sedekahkan surah Al-Fatihah (dibaca) buat arwah nenek Pesah binti Nodi.


Ya Allah Ya Tuhanku ampunilah dia, rahmatilah dia, maafkanlah dia, muliakanlah kematiannya, lapangkanlah kuburnya, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggalnya. Semoga arwah nenek di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman beramal soleh.
Ameenn.

Okay, Resepi Rendang Ayam Tradisi Nenek Pesah ini menggunakan ayam kampung atau ayam tua.
Tempoh masa memasak rendang ini adalah 3 hingga 4 jam memandangkan ayam kampung / ayam tua mempunyai isi yang liat, tetapi lembut dan sangat sedap setelah dimasak.
Sudah namanya tradisi, pastinya saya mengikut cara memasak biasa di dapur selama 3 hingga 4 jam. 
Zaman semakin berubah, pelbagai gajet dapur yang ada masa kini, bagi sesiapa yang ingin cepat menggunakan periuk tekanan tinggi (pressure cooker) untuk melembutkan ayam terlebih dahulu pun tak ada masalah.
Pilihan saya tetap gunakan cara lama kerana saya telah pun mencuba menggunakan pressure cooker dan hasilnya tidak memuaskan tekak saya. Terpulang...pillihan cara memasak ditangan anda.
Resepi di bawah untuk seekor ayam, sila gandakan bahan-bahan jika ingin lebih banyak.
  
RESEPI RENDANG AYAM TRADISI NENEK PESAH 

1 ekor ayam kampung / ayam tua
Daun Salam
Kerisik 1.5 sudu besar
Santan Perah sebiji kelapa atau jika tak ada, ingin gunakan santan kotak +-200ml pun boleh.
Air
Garam
Gula
Perasa makanan (jika suka)

* Bahan Kisar 1
*3 ulas serai
*4 biji bawang besar
*10 biji bawang kecil
*15 ulas bawang putih
*4-5 inci halia
*2 inci kunyit hidup
*2 inci lengkuas

** Bahan Kisar 2 
Cili kering segenggam (rebus & kisar) - kurangkan jika tak nak pedas

Cara memasak lihat gambar :


1. Masukkan ayam yang telah dipotong bersama daun salam, garam, gula, perasa makanan, bahan kisar 1 dan bahan kisar 2 ke dalam kuali (INGAT YA, RESEPI INI TIDAK MENGGUNAKAN MINYAK MASAK UNTUK MENUMIS). Masak sehingga pecah minyak dan agak kering. Waktu ini sila gunakan api kecil, kacau masakan supaya tidak hangus. Jangkaan tempoh masa 30 hingga 45 minit.


2. Setelah kering dan pecah minyak, masukkan air yang banyak sehingga penuh kuali. Gunakan api sederhana waktu ini. Proses ini memakan masa yang lama, dalam 15 ke 20 minit sekali boleh kacau kuali. Masak sehingga hampir kering. Jangkaan tempoh masa 1 hingga 1.5 jam.


3. Sila ULANG cara memasak no.2 (sehingga anda betul-betul pasti isi ayam telah agak lembut... saya ulang ya.. isi ayam agak lembut BUKAN hancur tau). Jangkaan tempoh masa 1 hingga 1.5 jam.


4. Setelah isi ayam agak lembut dan masakan hampir kering boleh lah masukkan santan dan kerisik. Masak lagi sehingga kering (bagi yang suka agak basah, tidak perlu sehingga betul-betul kering).
ok, siap boleh la dihidangkan bersama nasi panas ke nasi impit ke lemang ke lontong ke...alahhh..semua boleh lahhh.

oh ya.. sedikit tips..
  • Pastikan masakan betul-betul PECAH MINYAK di cara memasak no.1 sebelum tuang air, minyak tersebut terhasil dari lemak ayam itu sendiri. Step no.1 jika anda tak sabar...tak menjadi lah rendang tradisi yang sebetulnya.
  • Jika tak ada daun salam...boleh la gunakan daun limau purut. Penggunaan daun salam dalam masakan rendang adalah lebih sedap.
 Semua resepi yang dikongsikan adalah cara saya, kita semua mempunyai cara yang berbeza walaupun asas memasaknya adalah sama. 
Selamat menjamu selera dan semoga bermafaat.

#kongsiresepi #resepiringkas #zulizazulkepli #rendangtradisinenek #rendangnenek

ISI HATI YANG SERING DILIHAT